Advertisement

Main Ad

Pengenalan diri

Entri 1 - Pengenalan Diri


Teks : Rosilawati Wahid
Foto : Rosilawati Wahid


Bismillah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Salam perkenalan daripada saya.

Saya dilahirkan pada jam 3.00 pagi pada hari Rabu tanggal 12 Februari 1975. Ianya merupakan hari pertama sambutan Tahun Baru Cina bagi masyarakat tionghwa. Sebab itu agaknya wajah saya ada iras-iras anak Cina. Saya merupakan puteri sulung daripada tiga orang adik-beradik bagi bapa dan emak saya iaitu Wahid bin Ramly dan Azizah binti Haji Ismail. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Tua, Parit, Perak. Nama yang diberikan oleh bapa saya Rosilawati binti Wahid. Manakala nama timangan pula Sheila.  

Saya mendapat didikan awal di sekolah tadika Kampung Belanja Kiri seawal usia 5 tahun. Alhamdulillah, emak dan bapa saya sangat mementingkan pendidikan sedari awal usia. Saya memulakan persekolahan peringkat rendah di Sekolah Kebangsaan Iskandar Shah, Parit pada tahun 1982. Seterusnya menyambung pengajian di peringkat menengah di Sekolah Menengah Iskandar Shah, Parit pada tahun 1988 dan menamatkan pengajian di sini pada tahun 1992.

Seterusnya saya diterima untuk menyambung pengajian di Politeknik Ungku Omar, Ipoh dalam jurusan Kejuruteraan Awam Kerjaraya dan Kajiair. Bidang kejuruteraan ini adalah pilihan emak walaupun sebenarnya saya lebih meminati bidang perakaunan. Rasanya emak lebih nampak kelebihan saya justeru bidang tersebut dipilih. Alhamdulillah, saya menamatkan pengajian pada tahun 1995 dengan sekeping Sijil Kejuruteraan Awam.

Selepas menamatkan pengajian di peringkat sijil, saya terus mendapat tawaran bekerja di Syarikat Kilang Chuan Huat, Seberang Prai, Pulau Pinang sebagai 'steel detailer'. Tahun 1996 saya berpindah ke Shah Alam dan bekerja di NamFatt Berhad. Tahun 1997 hingga 2012 saya bekerja di Structural Detailers Sdn. Bhd dengan jawatan yang sama.

Di Politeknik Ungku Omar saya bertemu jodoh dengan suami saya, Mohd Jailani bin Abdul Jalil. Alhamdulillah. Perkenalan ini membawa kami sehingga ke jinjang pelamin. Kami akhirnya memeterai perjanjian sebagai suami isteri pada tahun 1997. Alhamdulillah, selama 17 tahun melayari bahtera rumahtangga kami dikurniakan enam (6) orang cahayamata iaitu Adini, Al-Amin, Adibah, Amni Damia, Ahmad Ammar dan Ahmad Arsyad.

Minat yang mendalam dalam bidang jahitan dan kraftangan telah menemukan saya dengan Pusat Jahitan dan kraftangan Epal Puchong pada tahun 2005. Di sini saya belajar jahitan kreatif seperti menjahit sulam cantum (patchwork), sulam tampal (applique), baju smoking kanak-kanak, seni jahitan beg dan sebagainya. Selain daripada ilmu dalam bidang jahitan, saya juga telah didedahkan dengan ilmu pemasaran. 

Bermulalah kegiatan saya memasarkan mesin jahit dan hasil jahitan melalui atas talian (online) secara sambilan. Saya berkongsi minat saya dengan masyarakat. Alhamdulillah sambutannya amat menggalakkan. Selain pemasaran online, saya juga pernah mengikuti program peniaga kecil seperti yang dianjurkan oleh MITI di PWTC pada tahun 2009. Saya juga menganjurkan kelas jahitan pada hujung minggu. Bila melakukan sesuatu yang kita minat, ianya amat menyeronokkan. 

Saya selalu percaya bahawa pembelajaran adalah sepanjang hayat. Saya harus sentiasa 'upgrade' ilmu yang saya ada. Justeru, saya menyambung pengajian secara sambilan di Universiti Malaya pada tahun 2009 hingga 2011. Minat dalam bidang perniagaan membuatkan saya memilih kursus Diploma Eksekutif 'Entrepreneur' dan pengurusan perniagaan.

Pada tahun 2012 kami menghadapi cabaran dengan anak-anak yang meningkat remaja. Mereka tidak mahu tinggal di rumah pengasuh lagi. Setelah berbincang kami membuat keputusan bahawa saya perlu berada di rumah bagi menjaga kebajikan anak-anak. Majikan tidak mengizinkan lalu menawarkan saya untuk bekerja dari rumah secara kontrak. Maka bermulalah penglibatan saya sebagai ibu yang bekerja dari rumah atau 'work at home mom' (wahm).

Kontrak saya ditamatkan pada penghujung tahun 2013 oleh syarikat. Syarikat memberikan syarat, jika sekiranya ingin terus bekerja saya perlu kembali ke pejabat. Saya nekad untuk tidak menyambung kontrak. Bermulalah era bekerja dari rumah sepenuhnya. Rezeki Allah tidak pernah putus. Saya ditawarkan pekerjaan oleh sebuah syarikat lain dan ianya merupakan tawaran bekerja dari rumah juga. Perniagaan mesin jahit serta aktiviti jahitan juga berjalan seperti biasa. Alhamdulillah. Perancangan Allah sungguh hebat. Rezeki yang Allah berikan tidak pernah putus.

Saya amat selesa dengan jawatan ibu yang bekerja di rumah. Saya dapat memantau kegiatan anak-anak, membantu mereka dalam pelajaran, berada bersama mereka pada saat mereka memerlukan, memasak untuk mereka dan macam-macam lagi yang saya tidak dapat lakukan ketika saya bekerja sepenuh masa.

Tahun 2015 adalah tahun ketiga saya bekerja dari rumah. Saya mencari kumpulan sokongan untuk golongan seperti saya, WAHM. Allah aturkan pertemuan saya di laman sosial Facebook. Saya bertemu dengan komuniti Akedemi Bekerja Di Rumah (ABDR). Saya berkenalan dengan puan Masayu Ahmad. Melalui rakan Facebook, puan Kuazue saya diperkenalkan dengan guru penulisan online untuk blog iaitu puan Anys Idayu

Pentingnya mempunyai kumpulan sokongan dan berada di dalam kumpulan tersebut adalah untuk memastikan kita berada di landasan yang betul bagi mencapai matlamat yang telah ditulis. Selain daripada itu, ianya juga dapat membantu meningkatkan motivasi diri semasa menghadapi cabaran sebagai WAHM. Teruslah berdoa supaya Allah sentiasa menjaga kita dan terus memberikan kita ilham untuk berkarya agar kita dapat menyumbangkan semula kepada masyarakat. Aamiin.

Bekerja di rumah memerlukan disiplin diri yang tinggi. Kekal fokus, sentiasa berada dalam keadaan positif, tambah ilmu pengetahuan dengan menghadiri seminar, membaca buku-buku yang berkaitan dengan bidang yang diceburi. Insyaa Allah, kita pasti sampai kepada matlamat yang telah ditetapkan.

Sehingga berjumpa lagi di lain entri. 

Salam mesra daripada saya.


1 April 2015
3.00am



Catat Ulasan

0 Ulasan