Poslaju ‘Pickup’ - Blog Sulaman, Jahitan kreatif, Keluarga, Travelog & Resipi

19 April 2015

Poslaju ‘Pickup’

Entri 14 – Poslaju ‘Pickup’

Teks : Rosilawati Wahid
Foto : Rosilawati Wahid

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Diharapkan kalian semua berada di dalam keadaan sihat sejahtera serta ceria hendaknya.

Baiklah, hari ini saya kongsikan berkenaan khidmat Poslaju ‘pickup’ yang sangat selesa kerana kita tidak perlu keluar meredah kesesakan lalu-lintas serta tidak perlu beratur untuk menunggu giliran. Jimat masa dan jimat tenaga. Bayaran yang dikenakan untuk perkhidmatan ini sangat minimal iaitu RM5.00 sahaja untuk sekali ‘pickup’ tanpa mengira kuantiti barang yang dihantar.

Sediakan barang yang hendak dihantar. Jika barangan tersebut di dalam kotak, seelokkan ianya dibalut dengan ‘bubble wrap’ atau plastik pembungkus barang agar ianya dapat dilindungi daripada kerosakan. Jika barang yang dihantar adalah kecil, memadai untuk memasukkannya ke dalam sampul bungkusan yang disediakan oleh pihak Poslaju atau boleh juga dimasukkan ke dalam sampul surat biasa.

Yang pasti barangan tersebut hendaklah dalam keadaan selamat apabila pelanggan menerimanya nanti.

Langkah pertama

Pergi ke laman sesawang Poslaju, www.poslaju.com.my dan klik di bahagian ‘ship with us’ dan seterusnya klik pada ‘Create Consignment Note’. Sila rujuk gambarajah berikut.


image

Langkah kedua.

Masukkan maklumat pengirim dan maklumat penerima pada ruangan yang disediakan. Setelah lengkap diisi, cetak borang tersebut. Cetakan adalah sebanyak empat salinan. satu salinan adalah untuk simpanan pengirim.

Langkah ketiga.

Bagi penghantaran barang di dalam kotak, sukatan kotak adalah diperlukan untuk menentukan berat sesuatu item. Butiran kotak seperti panjang tinggi dan lebar boleh dimasukkan di bahagian ‘Check Volumetric Weight’.

Langkah keempat.

Semak barang larangan yang tidak boleh dihantar melalui Poslaju, antaranya adalah senjata api, wang tunai, haiwan hidup serta tumbuh-tumbuhan.

image

Bila sudah sedia, buat panggilan ke talian bebas cukai Poslaju iaitu 1-300-88-LAJU. Biasanya panggilan perlu dibuat antara jam 9.00 pagi hingga sebelum 12.00 tengahari. Waktu ‘pickup’ adalah sehingga jam 6.00 petang pada hari yang sama.

Nombor rujukan akan diberikan untuk setiap panggilan. Cas penghantaran barang akan mengikut berat dan juga lokasi penghantaran yang telah ditetapkan mengikut zon.

Berikut adalah kronologi penghantaran barang yang saya buat menggunakan Poslaju ‘pickup’.

image

Panggilan untuk Poslaju ‘pickup’ dibuat pada 16 April 2015 sekitar jam 9.00 pagi. Van Poslaju tiba pada jam 4.45 petang pada hari yang sama. Bila disemak status penghantaran pada keesokkan harinya, barang yang saya hantar telah tiba di Miri untuk ke destinasi seterusnya Bintulu, Sarawak.

Setakat ini saya amat berpuas hati dengan khidmat yang disediakan. Terima kasih saya ucapkan. Semoga Poslaju serta kakitangannya akan bertambah produktif dan sentiasa dilindungi Allah semasa menjalankan tugas.

Semoga bermanfaat.

Daripada,
Rosilawati Wahid,
Usahawan Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan