Looking For Anything Specific?

Header Ads

Tip Merancang Untuk Wahm

Entri 2 - Tip Merancang Untuk Wahm

Teks : Rosilawati Wahid
Foto : Rosilawati Wahid

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Bercakap melalui pengalaman selama hampir tiga (3) tahun menjadi wahm. Sebenarnya masa amat mencemburui jadual harian seorang wahm. Boleh dikatakan hampir tiada masa untuk dibazirkan. 

Kita perlu merancang jadual harian agar semua tugas dapat dilaksanakan dengan sempurna. Ianya perlu seimbang antara bisnes, urusan rumahtangga, urusan anak-anak dan lain-lain tugas yang menanti. Ianya akan jadi mudah dan dapat menjimatkan masa sekiranya kita merancang dari awal.

Mulalah merancang hari ini demi kejayaan di masa hadapan.

Mulakan hari anda dengan bangun seawal 4.00 pagi.

Bangun seawal jam 4.00 pagi sangat digalakkan dalam Islam. Waktu ini adalah waktu yang tiada gangguan kerana anak-anak masih lena dibuai mimpi. Fikiran kita juga dalam keadaan segar. Selain mencipta lebih masa, kita juga boleh mengisi waktu awal pagi ini dengan beribadah, membaca Al-Quran, menulis entri di blog dan sebagainya. 

Uruskan masa

Senaraikan tugasan yang perlu dilaksanakan. Seterusnya pecahkan tugasan-tugasan besar kepada beberapa bahagian tugasan kecil. Tulis tarikh setiap tugasan itu perlu disiapkan/diserahkan. Bahagikan kepada beberapa blok masa dan hanya bekerja untuk blok masa yang ditetapkan.

Sebagai contoh anda perlu melipat pakaian dan mencuci pinggan mangkuk di sinki. Tetapan blok masa untuk melipat pakaian antara 8.00 pagi - 8.30 pagi, manakala blok masa untuk mencuci pinggan mangkuk pula antara 8.30 pagi - 9.00 pagi. Jadi mengikut blok masa tersebut sahaja anda lakukan tugasan itu. Jika sekiranya masih belum selesai tinggalkan dahulu dan sambung di tetapan masa yang lain pula.

Susun ruangan bekerja, buang yang tidak perlu

Jika diperhatikan, mungkin ada di antara barangan yang kita pernah beli tapi sudah tidak gunakan lagi. Tetapi kita masih lagi menyimpan barang-barang tersebut. Hendak dibuang terasa sayang. Akibatnya kita menyimpan dan terus menyimpan bertahun-tahun lamanya.

Tukar tabiat tersebut. Simpan hanya yang perlu sahaja untuk kegunaan setiap hari. Jika sesuatu barang tidak digunakan paling lama setahun, barang tersebut termasuk dalam kumpulan barang yang perlu dikeluarkan. Kemas dan susun ruangan bekerja. Jadikan ianya ringkas dan praktikal. 

Susun kerja menikut keutamaan

Tuliskan senarai tugasan dan juga senarai semak setiap tugasan mengikut keutamaan. Selesaikan satu-satu mengikut keutamaan pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Tandakan bagi tugasan yang telah berjaya disiapkan. Dengan cara ini anda akan lebih mudah 'keep track' senarai tugas yang perlu dilaksanakan.

Bertindak sekarang, jangan bertangguh.

"Kerja ni senang je, nanti-nanti boleh buat." 

Pernah guna atau pernah dengar ungkapan di atas? Bahaya! Jangan sesekali menangguh tugasan walau ianya tugasan yang sangat mudah. Buat dan siapkan segera. Jika bertangguh nanti ada tugasan lain yang datang akan menambah tugas sedia ada. Ini akan menyusahkan anda nanti.

Tentukan hari untuk tugasan yang telah disenaraikan

Contoh :

  • Isnin - membersihkan bilik
  • Selasa - membasuh pakaian
  • Rabu - membeli keperluan dapur
  • Khamis - servis kereta
  • Jumaat - kemaskini akaun
  • Sabtu - Tulis blog

Tulis semua tugasan dalam sebuah buku nota. 

Tujuannya adalah supaya mudah untuk anda menyemak semula semua tugasan anda tanpa perlu merujuk kepada beberapa buah buku.

Tetapkan tempat anda bekerja 

Seorang wahm perlu menyediakan keperluan yang khas untuknya seorang. Meja kerja, laci dan rak yang akan gunakan setiap hari. Selepas digunakan letakkan semula ditempatnya semula. Ianya lebih teratur dan memudahkan anda mencarinya.

Jauhi pembunuh masa

Kurangkan masa bersama gajet yang tanpa sedar akan mengambil masa anda yang lama. Seperti kurangkan penggunaan aplikasi di telefon bimbit. Tetapkan 5 - 10 minit sahaja untuk mengemaskini dan selebihnya tinggalkan dan fokus kepada kerja.

Menyemak laporan prestasi tugasan

Dengan menyemak laporan prestasi tugasan seseorang wahm dapat mengenalpasti kekurangan dan dapat menambah baik kekurangan tersebut dari masa ke semasa. Dalam masa yang sama juga anda tidak akan mengulami kesilapan yang sama berulang kali.

Selamat merancang saya ucapkan buat semua wahm. Semoga bertambah produktif pada masa akan datang.

Post a Comment

2 Comments

  1. Wah, tips menarik dan berguna ni sis rozilawati..blh la sy gunakan utk rncg masa seharian..terima kasih ya sis berkongsi tips ni..😀😍

    ReplyDelete
  2. Semoga bermanfaat cikpuan Siti Rahimah.

    ReplyDelete