Featured

Resepi Apam Pisang


Resepi Apam Pisang

Teks & Foto : Rosilawati Wahid

Alhamdulillah, sempat belajar membuat apam pisang daripada allahyarhamah emak. Resipi ini mudah dan tidak banyak belanja. Paling utama dengan percubaan pertama sahaja terus menjadi. Kalau ada yang tak suka manis boleh dikurangkan sedikit gulanya.



Bahan-bahan :
1 cawan pisang mas
1 cawan gula (saya kurangkan kepada 1/2 cawan)
1 cawan minyak masak
2 biji telur
2 cawan tepung gandum + 1 tbsp Sodium bikarbonat (diayak)

Cara membuatnya :
Kisar semua bahan basah.
Apabila sudah sebati, masukkan tepung sedikit demi sedikit dan gaul sehingga sebati.
Sudukan ke dalam acuan sehingga 1/2 penuh.
Kukuskan sehingga masak.

Selamat mencuba.

Felt Dress-Up doll Pakaian Empat Musim

Felt Dress-Up Pakaian Empat Musim

Teks & Foto : Rosilawati Wahid

Semangat tahun baru 2016 agar lebih produktif lagi Insyaa Allah.

Baiklah. Ini kali pertama saya membuat felt paperdoll. Permintaan daripada seorang sahabat. 

Dengan bantuan daripada Adini, maka terhasillah dua pasang felt paperdoll ini. Lapan pasang pakaian juga direka oleh Adini. 







Teruja dengan hasilnya. Felt ini dua lapisan dan dijahit samada dengan jahitan tangan atau jahitan mesin. Tujuan dilapiskan dua adalah untuk menghasilkan felt paperdoll yang lebih kukuh. 

Sempat tadi Amanda yang berusia 4 tahun bermain dengan felt paperdoll. Aktiviti yang terdapat di dalam set felt paperdoll ini antaranya adalah seperti suai padan, mengenal warna, melekat dan mencabut daripada velcro.

Tonton Amanda bermain dengan felt paperdoll di link berikut. 



Akademi Bekerja Di Rumah, Kore Dan Malaysia

Akademi Bekerja Di Rumah, Kore Dan Malaysia

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Sumber : http://khushartinikamarulzaman.blogspot.kr/2015/10/akademi-bekerja-di-rumah-korea-dan.html

Saya telah menjadi surirumah selama hampir 3 tahun. Selama itulah, saya hanya bergerak sendiri.


Jatuh bangun sendiri, kadang-kadang terasa sunyi apabila anak-anak ke sekolah ataupun tidur.

Tambahan pula apabila tinggal di Korea Selatan ini, suami amat sibuk bekerja tidak kira siang atau malam, hujung minggu apatah lagi hari biasa. Sewaktu saya menulis draft entri melalui telefon ini, dia sudahpun berpagian di hadapan laptop menyiapkan kerja dari rumah lagi. Hendak keluar ke pejabat sekarang, suhu pagi sudah pun mula sejuk musim luruh.

Semasa di Malaysia, saya ada ramai jiran-jiran yang surirumah seperti saya. Semuanya pernah bekerja dan berhenti seperti saya juga untuk fokus pada keluarga.

Berbanding di sini, saya banyak menghabiskan masa di dalam rumah. Berjumpa orang Malaysia lain ketika ada urusan atau apa-apa majlis atau mungkin juga terserempak di Itaewon, tempat membeli daging Halal.

Sehinggalah saya berjumpa dengan Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) ini, hidup surirumah saya lebih bermatlamat. Dari hanya menguruskan rumahtangga dan mengambil tempahan jahitan beg kecil-kecilan serta menulis blog ala kadar, saya akui saya sekarang lebih fokus menulis dan konsisten dengan label entri blog.

Saya juga tahu tujuan menulis dan sasarannya. Penceritaan dan bahasa penulisan juga sudah ada perubahan positif. Saya sertai kelas asas penulisan blog dan kelas asas blog bisnes dengan ABDR ini dengan rela hati dan semestinya selepas berbincang dengan suami mengenainya.

Suami saya yang mula-mula mendorong saya membuat sesuatu untuk isi masa lapang terutamanya apabila anak bongsu kami sudah makin membesar dan dia akan berumur 4 tahun pada tahun depan. Jadi ABDR ini lah yang muncul di saat saya mencari.

Ada kawan-kawan yang tanya pada saya bagaimana saya boleh sertai kelas ini sedangkan cikgu saya di Malaysia dan saya di Korea? Kelas one-to-one ini dijalankan sepenuhnya online melalui email, Facebook, Whatsapp ataupun FB Messenger.

Kelas yang fleksible, tiada tekanan dan santai membolehkan saya menyusun masa harian saya untuk kelas. Saya hanya uruskan keluarga seperti biasa dan hanya menggunakan telefon dan laptop sahaja dan yang paling penting ianya boleh dilakukan tanpa keluar rumah. Jika saya tidak sertai kumpulan sokongan suri inipun, saya masih lagi menggunakan internet dan Facebook. Jadi apa salahnya jika saya hanya "tukar" sedikit aliran penceritaan dan penulisan di blog dan juga di Facebook.

Dalam masa yang sama, saya juga boleh berkongsi produk-produk ABDR seperti Ebook, Kelas-kelas online dan juga sertai bisnes dropship buku. Semuanya hanya dibuat dari rumah dan saya masih lagi di Korea dan cikgu saya di Malaysia.

Yang penting, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Semoga bermanafaat.



Baca lebih banyak ulasan pelajar ABDR di http://akademibekerjadirumah.blogspot.com

Jika berminat untuk tahu lebih lanjut berkenaan ABDR ini, boleh hubungi saya sebagai pengurus online ABDR
Rosilawati Wahid
SMS/Whatsapp :  012-3013341
Email : rosilawati.wahid@gmail.com



WAHM Perlu Sentiasa Sihat


WAHM Perlu Sentiasa Sihat

Teks & Foto : Rosilawati Wahid

Sejak semalam kepala berdenyut-denyut di sebelah kiri ke arah tengah kepala. Tangkap pangkal leher dan urat belikat juga. Biasanya kalau sakit kepala, saya akan tidur dan Alhamdulillah sakitnya akan hilang selepas terjaga dari lena. Berbeza dengan kali ini, sakitnya belum kebah lagi. Mudah-mudahan Allah angkat rasa sakit ini segera.

Sebagai seorang WAHM saya paling risau bila sakit. Pertamanya anak-anak yang perlukan perhatian dan keduanya kerja yang diamanahkan. Buat masa ini saya perlu menyiapkan felt paperdoll yang ada sedikit berbaki. Kerja freelance pula ada dua struktur yang perlu ditambahbaik.

Mohon doakan saya semoga segera sembuh. Emosi tidak stabil dibuatnya.

Bercerita tentang felt paperdoll, saya tidak pernah menjahitnya sebelum ini. tetapi berdasarkan tutorial yang terdapat di internet, Alhamdulillah dapat saya siapkan projek ini. Harap pelanggan saya berpuas hati dengan hasilnya.

Gambar ini ketika dalam proses menjahit. Tingginya 7". Material yang digunakan adalah polyester felt dengan ketebalan kira-kira 1.4mm.




Sistem Chronodex Untuk Perancangan Harian

Sistem Chronodex Untuk Perancangan Harian

Teks & Foto : Rosilawati Wahid

Cop Chronodex ini saya beli daripada www.the1992version.com. Ianya adalah sistem 24 jam yang membolehkan kita merancang jadual harian mengikut blok masa. Setiap blok diwarna/dilorek bagi mewakili tugas berbeza. 

Untuk pemahaman lanjut boleh rujuk pautan ini http://scription.typepad.com/blog/#.VoHomrZ97s0 atau tonton video ini Chronodex - How I Use It penerangannya lebih jelas.




Ini contoh yang saya buat. Saya buat kod warna untuk memudahkan saya membuat rujukan segera.

- Merah : Kerja Freelance/jahitan kraftangan
- Hijau : ME Time / Solat dan lain-lain
- Oren : Masa ulangkaji anak-anak




Sistem Chronodex ini digunakan jika sekiranya telah ditetapkan masa/tempoh. Jika tiada tetapan masa maka tidak perlu dimasukkan ke dalam jadual. Sistem ini boleh juga digabungkan dengan sistem bullet. Apa sahaja sistem yang digunakan matlamatnya adalah untuk menjadi lebih tersusun dan lebih produktif..

Yuran Persekolahan Sesi 2016


Yuran Persekolahan Sesi 2016

Teks : Rosilawati Wahid
Foto : Carian Google

Sesi persekolahan tahun 2016 akan bermula 4 Januari 2016. Seperti biasa saban tahun perbelanjaan yang terlibat adalah pakaian sekolah, beg, kasut, buku aktiviti dan buku rampaian serta yuran persekolahan. Bukan semua diganti setiap tahun. Jika masih elok akan digunakan lagi pada tahun persekolahan berikutnya.

Daripada tujuh orang anak, 3 masih bersekolah. Adibah di tahun 4 manakala Amni tahun 3. Adini tunggu keputusan SPM dan Al-Amin masih berada di Maahad. 



Senarai keperluan dan yuran setiap anak :

Adibah
- Baju kurung putih (SAR) 2 helai - kain masih elok. Anggaran RM40.00
- Kasut putih - 1 pasang (sekolah Kafa) - Anggaran RM25.00
- Kasut hitam - 1 pasang (sekolah kebangsaan) - Anggaran RM25.00
- Stokin - Anggaran RM10.00
- Yuran Kafa - RM231.20
- Buku sekolah kebangsaan - RM100.00
Jumlah : RM431.20

Amni
- Kasut hitam - 1 pasang (sekolah kebangsaan) - Anggaran RM25.00
- Stokin - Anggaran RM10.00
- Yuran Kafa - RM570.00
- Buku sekolah kebangsaan - RM100.00
Jumlah : RM705.00

Al-Amin
- Yuran tahunan - RM700
Jumlah : RM700.00

Jumlah perbelanjaan untuk tiga orang anggarannya RM1,836.20.

Nanti Adini pula, ada rezeki masuk IPTA/IPTS. Belanja pendaftaran dan lain-lain keperluan yang belum diketahui. Kadang-kadang terfikir, macamana zaman emak dan bapa kita dulu-dulu dengan pendapatan kecil kerja kampung dapat membesarkan dan menghantar ke menara gading tanpa bantuan PTPTN dan sebagainya. 

Jujurnya dengan keadaan ekonomi sekarang dengan kos perbelanjaan harian yang tinggi ianya agak mencabar bagi saya sekeluarga. Mana yang boleh jimat, akan dijimatkan. Insyaa Allah semoga Allah sentiasa mencukupkan kami dalam apa jua keadaan dan memberikan kami rezeki yang tidak dijangka.

Tips jimat cermat :

Untuk mendapat jumlah ini, tabungan bulanan adalah kira-kira RM150.00 sebulan. Setahun simpanan terkumpul lebih kurang RM1,800.00. Tidak adalah rasa terbeban sangat. Usahakan menyimpan setiap bulan. 


Contoh-contoh busy book

Contoh-contoh busy book 

Teks : Rosilawati Wahid
Foto : Carian Google

Ini antara contoh quiet book. Nak jahit sendiri busy book untuk anak-anak pun boleh juga. Samada nak jahit atau sekadar nak gam dan cantum pun boleh juga. Semuanya bergantung kepada krativiti masing-masing dan juga minat anak-anak.




http://www.bambinogoodies.co.uk/wp-content/uploads/2012/09/Quiet-Book.jpg
http://www.fun-2-learn.com/wp-content/uploads/2012/05/DSCN0523.jpg
Di harap ianya dapat memberikan gambaran serba sedikit tentang busy book. Bukan anak-anak sahaja yang suka, malah kita pun turut teruja untuk bermain sama.

Apa itu Busy Book?

Apa itu Busy Book?

Teks & Foto : Rosilawati Wahid

Busy book (atau quiet book) adalah sebuah buku aktiviti untuk kanak-kanak berusia dari 0 hingga 6 tahun. Ianya diperbuat daripada fabrik yang beraneka warna yang mampu menarik minat dan perhatian anak-anak.

Busy book mengandungi berbagai aktiviti seperti zip, butang, velcro, suai padan dan sebagainya yang mana setiap aktiviti ini mampu meransang kemahiran motor halus mereka. Ianya juga dapat membantu anak-anak lebih fokus dengan apa yang mereka lakukan.

Biasanya busy book ini akan dijahit oleh ibu-ibu yang kreatif. Aktiviti di dalamnya mengikut kecenderungan dan minat anak-anak itu sendiri. Aktivitinya juga berbeza mengikut peringkat usia anak-anak.

Ini contoh busy book anak yang digunakan sejak dari tahun 2012 lagi. Alhamdulillah masih dalam keadaan baik sehingga kini.






Harga Tiket Zoo Negara

Harga Tiket Zoo Negara

Teks : Rosilawati Wahid
Foto : Google

Sudah agak lama tak bawa anak-anak ke Zoo Negara. Anak-anak yang besar pernah pergi, anak-anak yang kecil belum merasa lagi. Boleh bayangkan bila Ammar dapat tengok gajah, zirafah secara langsung depan mata. Mesti tak henti-henti bercakap. Ammar anak bijak itu sangat peka dengan persekitaran. Mesti dia teruja.

Saya ke laman sesawang Zoo Negara untuk menyemak harga tiket. Untuk kami sekeluarga pergi empat dewasa dan 3 kanak-kanak, kosnya adalah sekitar RM161.00. Belum masuk belanja makanan dan minuman lagi.


Jadi buat masa ini terpaksalah ditangguhkan dahulu lawatan ke Zoo Negara. Insyaa Allah ada rezeki kita pergi lain kali. 

Jadi untuk mengisi masa cuti anak-anak ini mereka ke Taman Botani dan Wetland di Putrajaya. Aktiviti utama adalah mengayuh basikal. Anak-anak kecil main bola dan berlari-lari. Bekalan roti juga dibawa sebagai alas perut dan untuk diberikan kepada ikan-ikan di tasik. Yang penting anak-anak gembira.

Anak ramai dengan bajet terhad, kita perlu mencari aktiviti untuk anak-anak sesuai dengan bajet. Biasanya buka tabung untuk sesuatu aktiviti. Contohnya untuk percutian keluarga, bajet RM2000, maka kumpullah sedikit-sedikit setiap bulan. Kurangkan membeli barang yang tidak perlu. Cari cara untuk tambah pendapatan dan dalam masa yang sama dapat tambah duit simpanan.

Brush Pen Lettering



Brush Pen Lettering

Teks : Rosilawati Wahid
Foto : Rosilawati Wahid & Google
Berlatih lagi dan lagi menggunakan brush pen. Ianya adalah kaligrafi moden yang menggunakan brush pen. Boleh juga menggunakan warna air dan berus lukisan. Bagi yang belum mahir seperti saya ianya memerlukan latihan yang berterusan untuk mendapatkan hasil yang cantik.

Tulisan di bawah ini saya menggunakan brush pen yang dibeli dari Daiso D'Pulze Cyberjaya. Masih banyak ruang untuk penambahbaikan.




Ini antara contoh brush pen kaligrafi














Dengan kata carian brush pen lettering nanti banyak pautan rujukan yang akan keluar. Selebihnya bergantung kepada kreativiti sendiri. Jangan risau jika anda tidak kreatif, buat sahaja tulisan sendiri dan yang penting kita gembira.



Antara brush pen yang ada di pasaran

1. Tombow (RM9.90 untuk 1 warna) - cziplee Bangsar 
2. Pentel Fude Touch Pen (RM35 untuk 5 warna & RM86 untuk 12 warna) - @japaneasyshopper
3. Kurutake Zig Clean Colour - @japaneasyshopper
4. Koi Brush Pen (RM5.50 untuk 1 warna) - Scrap & Crop

Ada banyak lagi sebenarnya, tiga yang tersenarai adalah dalam wishlist saya. Tapi buat sementara waktu guna yang beli dari Daiso sahaja untuk latih tubi dan melembutkan jari-jemari.

DIY Buku Perancangan Tahunan


DIY Buku Perancangan Tahunan

Teks & Foto : Rosilawati Wahid

2015 telah hampir ke penghujung. Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan melangkah masuk ke tahun 2016. Seperti tahun-tahun sebelumnya saya akan mencari kalendar dan juga planner untuk memudahkan perancangan sepanjang tahun.

Selalu yang akan ditanda adalah tarikh-tarikh penting seperti tarikh peperiksaan anak-anak, tarikh cuti persekolahan, tarikh insuran dan cukai jalan kenderaan dan beberapa tarikh yang setiap tahun perlu diingati. Anak-anak ramai segalanya perlu ditulis supaya tiada satu tarikh penting yang tertinggal.


Tahun 2015 saya menggunakan planner Kikki K Gold, tahun 2016 saya akan beralih kepada fauxdori yang dibuat sendiri. Idea asalnya adalah daripada Traveler's Notebook (TN) yang dikeluarkan oleh syarikat Midori-Japan. Maka terhasillah empat buah buku. Setiap buku mempunyai fungsi berbeza.


Salah sebuah buku didedikasikan untuk perancangan bulanan. Sebulan dalam dua muka surat. Tujuannya adalah untuk melihat secara keseluruhan aktiviti dalam bulan tersebut.




Buku berikutnya adalah untuk catatan mingguan. Ianya rancangan seminggu di dalam dua mukasurat. Boleh tulis panjang sikit To-Do-List atau tugasan bagi hari tersebut. Kemudian nanti boleh lekatkan pelekat washi sebagai hiasan. Buku rancangan seminggu ini akan saya gunakan untuk merancang penulisan blog.




Buku ini saya buat sendiri. Templatenya saya cetak dari pautan MyLifeAllInOnePlace. Setelah itu saya jahit tengah menggunakan jahitan lurus dengan jarak jahitan 4.5 dan seterusnya buku tersebut dipotong untuk mendapatkan saiz buku 210mmx110mm.

Ada sebuah buku yang akan saya gunakan untuk Bullet Journaling dan sebuah lagi akan digunakan sebagai log catatan percutian keluarga. Untuk bullet journaling saya akan menggunakan buku yang halamannya mempunyai titik-titik sahaja manakala buku yang berhalaman kosong akan digunakan untuk catatan travelog.

Untuk kegiatan peribadi/ibadah saya akan menggunakan Muslima Ultimate Planner keluaran Kecil Mamil yang berpusat di Indonesia.
Copyright © 2015 Blog Sulaman, Jahitan kreatif, Keluarga, Travelog & Resipi
| Distributed By Gooyaabi Templates