Looking For Anything Specific?

Header Ads

85 | Selangkah Ke Uitm Bahagian 2

Selangkah Ke Uitm Bahagian 2

Teks : Rosilawati Wahid
Foto : Rosilawati Wahid

Pagi ini seawal 5 pagi 3 Jun 2016, semua anak-anak dikejutkan untuk menghantar kakak ke KLIA2. Adini akan menyambung pengajian ke peringkat diploma di Sarawak. Semoga Allah permudahkan segala urusan. Jaga diri baik-baik di tempat orang. Mudah-mudahan dapat kawan-kawan yang baik dan dapat mendekatkan kakak ke syurga Allah hendakNya. Semoga sentiasa berada di dalam perlindungan Allah dan rahmatNya. Insyaa Allah.


Usaha dan rezekinya telah tertulis. Keputusan SPM diumumkan dan dia bukanlah pelajar cemerlang berbanding rakan-rakan lain, tetapi dia cemerlang di mata dan hati kami. Syukur dan redha dengan keputusan yang diterima. Adini hanya memiliki 2A dalam subjek Matematik dan Sains. Alhamdulillah.

Selepas itu bermula episod memilih kursus yang sesuai dengan kelayakan. Menghadiri Ekspo Selangkah ke UiTM pada 13 Mac 2016 termasuk dalam salah satu agendanya. Selepas menghadiri ekspo ini baharulah nampak halatujunya selepas itu. Adini memilih Diploma Pengajian Sains Sukan sebagai  pilihan utama.

Untuk mendapat tempat Adini perlu menghadiri temuduga. Temuduga terbahagi kepada dua bahagian, temuduga kecergasan dan temuduga lisan. Daripada ratusan yang hadir dia antara yang bertuah untuk menyambung pengajian ke peringkat universiti. Nikmat yang mana yang kita ingin dustakan lagi?

Sebelum Adini mengambil jurusan Pengajian Sains Sukan kami, saya terutamanya mencadangkan agar dia memilih bidang kemahiran seperti jahitan pakaian ataupun kulinari. Belum lagi ke arah itu walaupun nampak bakatnya dalam bidang jahitan. Sebagai ibu saya menyokong keputusannya untuk mendalami bidang yang dipilih. Doa yang baik-baik sahaja.

Kenapa Pengajian Sains Sukan?


Ilham daripada Allah. Dapat pun dengan izin Allah. Rezeki kemudian kita tak tahu macamana. Mohon petunjuk daripada Allah. Kita merancang Allah yang tentukan. Buat masa ini itulah pilihan terbaik. Insyaa Allah, kalau lepas-lepas ini Adini perlu mendalami ilmu dalam bidang kemahiran, jadi ke arah kemahiran pula. Sebagai ibu tentulah saya menasihatinya dan juga memberikan pandangan dan cadangan kepadanya sebelum membuat sebarang keputusan.

Sebelum menghadiri taklimat saya nampak bidang pengajian sains sukan ni lebih tertumpu untuk menjadi cikgu jasmani ataupun kena terlibat aktif dalam bidang sukan. Setelah mendengar taklimat rupanya bidang ini tersangat luas. Antara yang boleh dilakukan adalah menjadi jurulatih di gym, pakar fisio di hospital, pensyarah dan sebagainya.

Semoga Adini mendapat kejayaan cemerlang dunia dan akhirat. Aamiin.

Post a Comment

0 Comments