Entri 3 - Keperluan Vitamin Ibu Mengandung
Teks : Rosilawati Wahid
Foto : Carian Google
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Kehamilan merupakan suatu perjalanan yang sangat istimewa bagi insan yang bergelar isteri dan bakal ibu. Pemakanan yang bagus ketika hamil adalah penting untuk memastikan kesihatan ibu sepanjang kehamilan berada pada tahap optimum. Begitu juga kesihatan anak yang bakal dilahirkan kelak.
Kuantiti dan nutrien makanan secukupnya yang diambil oleh wanita sepanjang kehamilan akan disalurkan kepada bayi di dalam rahim ibu bagi menyokong perkembangan dan tumbesar janin. Keperluan yang paling utama adalah protein, kalsium, zat besi dan asid folik juga vitamin C.
Menurut kajian seorang ibu hamil memerlukan lebihan tenaga sebanyak 300kcal/hari dalam trimester kedua dan ketiga bagi menyokong tuntutan metabolik kehamilan dan tumbesaran janin. Ianya diperlukan untuk menyuburkan tisu dan darah tambahan yang membekalkan tenaga dan nutrien kepada bayi.
Wanita hamil juga memerlukan hampir dua kali ganda protein untuk kehamilan yang sihat. RDI pada masa kini adalah 60 g sehari yang boleh diperolehi daripada secawan susu dan 28.45 gram daging atau pengganti daging yang bersamaan. Bagi vegeterian, sumber protein boleh diperoleh daripada sumber kacang soya dan legume. Protein diperlukan untuk tumbesaran normal janin, pembesaran uterus dan payudara, pembentukan sel-sel darah, meningkatan jumlah darah dan pengeluaran bendalir amniotik.
Sumber Kalsium |
Wanita hamil juga sangat digalakkan mengambil sekurang-kurangnya 1200 miligram kalsium sehari. Ini boleh dicapai dengan pengambilan 3 cawan susu atau yogurt serta makanan tambahan seperti sayuran berdaun hijau atau produk tenusu. Kalsium memainkan peranan penting dalam perkembangan skeletal dan gigi janin.
Sumber Zat Besi |
Dari peringkat awal kehamilan, wanita hamil amat disarankan mengambil zat besi dan asid folic. Ia diperlukan untuk penghasilan sel darah merah ibu, sintesis DNA dalam tumbesaran janin dan plasenta, pembentukan embrio dan mengelakkan kecacatan kelahiran saluran neural pramatang. Daging tidak berlemak, hati, karangan laut, buah-buahan, jus, sayuran hijau dan bijian penuh adalah sumber terbaik.
Akhir sekali vitamin C. Tambahan 10 miligram vitamin C daripada keperluan RDA orang dewasa iaitu 60 miligram amat disarankan. Selain daripada peranannya dalam perkembangan tisu penyambung, vitamin C juga berfungsi sebagai agen penyerapan zat besi yang cekap bagi memudahkan pengaktifan asid folik. Satu atau dua hidangan buah sitrus atau sayuran berdaun hijau akan membekalkan keperluan tubuh sepanjang kehamilan.
Nikmatilah setiap waktu sepanjang kehamilan anda. Pasti ianya adalah antara saat indah yang akan kenang sepanjang hayat anda. Merasai pergerakan bayi anda sepanjang berada di dalam kandungan ianya sungguh istimewa.
Hingga jumpa lagi di lain entri. Ceria selalu.
0 Comments