Bengkel Penulisan Di Karangkraf

Bengkel Penulisan Di Karangkraf

Teks & Foto : Rosilawati Wahid

Catatan tertangguh bertarikh 12 September 2015.

Jarang benar keluar seawal pagi sejak bekerja dari rumah tiga tahun lalu. Berbeza sungguh situasinya pagi kelmarin. Ada bengkel penulisan di bangunan Sinar yang terletak di Shah Alam. Tidak boleh dibatalkan walau apa pun jua alasan. Mesti pergi!

Seperti biasa, jika ada acara di luar, bekalan makanan untuk anak-anak dan suami harus disediakan. Seawal jam 4.00 pagi kuali sudah dipanaskan. Menunya yang ringkas dan mudah, ayam masak kicap bakal jadi santapan tengahari buat mereka.


Aturan Allah sungguh cantik sekali, ingatkan pergi sendiri tetapi rupanya berteman. Jiran setaman yang jumpa sekali-sekala sebab sememangnya masing-masing punya agenda terencana menjadi teman bicara.


Mula melibatkan diri dengan dunia penulisan pada tahun 2008. Menggunakan medium blog sebagai tempat berkongsi minat dalam seni jahitan. Jika sebelum ini menulis hanya mengikut apa yang terlintas di hati, selepas ini menulis dengan ilmu dan bukan syok sendiri.

Menulis ada seninya, lenggoknya serta adab yang perlu di jaga. Menulis jangan sampai jadi fitnah dapatkan fakta dari sumbernya. Ini pesan Tuan guru yang berkongsi cerita.


Saya duduk di sebelah cikpuan yang bertudung merah jambu. Tekun mencatat nota yang dikongsi oleh Tuan guru. Kertas dan pena memang teman setia sejak dahulu. 

Tugas utama penulis adalah memberitahu, mendidik dan menghibur. Jadi terpulang kepada kita apa yang hendak dikongsi asalkan ianya berlandaskan kepada tiga perkara ini. Sandarkan setiap tulisan sebagai amal jariah daripada kita empunya diri. Jadi, kongsikan yang baik-baik sahaja. Segalanya akan dihisab di sana nanti.



Post a Comment

0 Comments