Pernah tak? Buka aplikasi bank sebab nak semak baki, lepas tengok angka yang tinggal, terus berfikir.
"Eh... bulan ni aku beli apa sebenarnya?"
Cuba ingat semula duit guna ke mana? Tak pergi bercuti, tak beli telefon baru, tak beli barang kemas, tak ada perbelanjaan besar pun, namun duit tetap berkurang dengan laju.
Jika Tuan Puan pernah rasa macam ini, percayalah... Tuan Puan tidak keseorangan. Saya percaya ramai sebenarnya mengalami perkara yang sama.
Bezanya, ada yang sedar awal. Ada yang hanya sedar apabila hujung bulan dah tak tahu nak tarik nafas macam mana.
Duit jarang habis sebab satu pembelian besar
Bila kita dengar orang cakap, "Saya tak boleh simpan duit," selalunya kita bayangkan mereka banyak membeli barang mahal.
Hakikatnya, tidak semestinya.
Satu-satu memang nampak murah, tetapi bila dicampurkan selama sebulan, jumlahnya boleh jadi agak mengejutkan.
Catat semua perbelanjaan
Bagi mengenal pasti ke mana wang dibelanjakan, saya mencatat semua perbelanjaan. Bermula dengan catatan selama seminggu. Bukan sebulan. Seminggu saja. Setiap kali keluar duit, walaupun RM2 untuk parkir atau RM5 beli roti, saya rekodkan
Mula-mula rasa leceh, tetapi selepas beberapa hari, akan mula nampak satu corak. Rupanya saya bukan banyak berbelanja untuk benda besar. Saya banyak berbelanja untuk benda-benda kecil. Perkara yang saya anggap "alah... sikit je."
Sikit-sikit itulah yang akhirnya menjadi banyak.
Jangan salah faham, kita masih boleh menikmati hidup
Saya bukan jenis yang percaya kita kena berkira sampai tak boleh minum kopi atau makan dengan keluarga.
Hidup ini memang untuk dinikmati.
Cuma saya mula bertanya pada diri sendiri satu soalan sebelum membeli sesuatu.
"Aku beli sebab perlu... atau sebab mahu?"
Soalan itu nampak mudah.
Tetapi banyak kali juga ia berjaya menghalang saya daripada membuat pembelian yang akhirnya saya akan sesal.
Duit perlukan "tugas"
Satu perkara yang saya belajar ialah kita asingkan duit mengikut fungsinya. Ada yang menggunakan kaedah sampul.
Jika kita tak asingkan, duit akan lebih mudah "lari" ke tempat lain.
Contohnya, bila gaji masuk, kita dah tahu:
- Ini untuk simpanan.
- Ini untuk barang dapur.
- Ini untuk anak-anak.
- Ini untuk bil.
Apabila setiap ringgit sudah ada tujuannya, kita lebih berhati-hati untuk menggunakannya.
Jika semuanya bercampur dalam satu akaun tanpa perancangan, memang mudah sangat duit itu hilang tanpa sedar.
Tak perlu berubah secara drastik
Kadang-kadang kita terlalu bersemangat. Hari ini buat bajet, esok terus nak potong semua perbelanjaan. Seminggu kemudian... penat. Akhirnya kembali kepada tabiat lama.
Saya lebih suka perubahan yang kecil tetapi konsisten.
Jika sebelum ini beli kopi lima kali seminggu, mungkin cuba kurangkan kepada tiga kali. Jika selalu membeli barang tanpa senarai, cuba mula tulis senarai sebelum keluar rumah.
Tak nampak besar. tetapi bila dibuat setiap minggu, kesannya memang terasa.
Renungan
Saya percaya kita semua bekerja keras untuk mencari rezeki. Sebab itu sayang jika duit yang kita usahakan hilang begitu saja kerana kebocoran-kebocoran kecil yang kita sendiri tak sedar.
Mungkin kita tak boleh naikkan gaji dalam masa sebulan, tetapi kita boleh mula mengurus apa yang kita ada hari ini.
Percayalah, perubahan itu tak perlu besar.
Yang penting, kita bermula.
Baca juga: Kenapa Gaji Besar Pun Masih Tak Cukup? Dalam artikel sebelum ini saya kongsikan kenapa pendapatan yang semakin meningkat tidak semestinya menjadikan kita lebih mudah menyimpan.
Rosilawat Wahid,
Cyberjaya
05 Ogos 2026
21 Safar 1448H


0 Comments