7 LANGKAH URUS KEWANGAN - Dave Ramsey

7 LANGKAH URUS KEWANGAN - Dave Ramsey

Kadang-kadang kita bukan tak pandai cari duit. Cuma duit yang masuk tu ada macam-macam komitmen kena bayar.

Bayar rumah, kereta, bil, belanja dapur, sekolah anak-anak… akhirnya simpanan sendiri asyik tertangguh.

Saya tertarik dengan satu konsep kewangan daripada Dave Ramsey yang dipanggil 7 Baby Steps.

Konsepnya mudah. Kita tak perlu terus fikir nak jadi kaya. Kita susun kewangan satu demi satu.


1. Bina dana kecemasan permulaan

Dave Ramsey mencadangkan USD1,000. Untuk konteks kita, boleh sasarkan RM1,000.

Supaya bila ada kecemasan kecil, kita tak terus bergantung pada kad kredit atau pinjaman.


2. Selesaikan hutang selain rumah

Utamakan usaha melangsaikan hutang pengguna seperti kad kredit dan pinjaman peribadi. Dalam kaedah asal Dave Ramsey, hutang diselesaikan menggunakan teknik debt snowball, bermula dengan baki paling kecil.


3. Kukuhkan dana kecemasan

Sasarkan 3–6 bulan perbelanjaan asas keluarga. Kalau tanggungan ramai atau pendapatan tidak menentu, boleh pertimbangkan simpanan lebih besar.

Utamakan simpanan yang mudah dikeluarkan seperti akaun simpanan, ASB atau Tabung Haji, tertakluk pada syarat pengeluaran.

Emas boleh dipertimbangkan sebagai simpanan jangka panjang tambahan, tetapi bukan pengganti tunai kecemasan kerana harganya berubah-ubah.


4. Simpan 15% pendapatan untuk persaraan

Kita selalu fikir persaraan masih jauh. Sedangkan masa itulah yang memberi peluang untuk simpanan berkembang.


5. Sediakan dana pendidikan anak-anak

Tak semestinya terus menyimpan banyak. Mulakan mengikut kemampuan dan tempoh sebelum anak-anak melanjutkan pelajaran.


6. Langsaikan hutang rumah lebih awal

Bayangkan apabila sampai usia persaraan nanti, satu komitmen besar sudah selesai. Lebih lapang aliran tunai keluarga.


7. Bina kekayaan dan memberi

Bila kewangan semakin stabil, kita bukan sekadar dapat menjaga keperluan sendiri. Kita juga ada lebih banyak ruang untuk membantu keluarga dan orang lain.

Apa yang saya suka tentang konsep ini, kita tak perlu buat semuanya serentak.

Setiap keluarga ada perjalanan kewangan yang berbeza. Ada yang masih berusaha keluar daripada hutang. Ada yang baru nak mula menyimpan.

Tak mengapa bermula kecil.

Yang penting, kita tahu langkah mana yang perlu didahulukan.


Kalau ikut keadaan kewangan sekarang, tuan puan berada di langkah nombor berapa?


Disclaimer: Perkongsian ini untuk tujuan pendidikan kewangan umum, bukan nasihat kewangan peribadi. 7 Baby Steps ialah konsep asal Dave Ramsey. Contoh jumlah dalam RM, pilihan simpanan tempatan dan emas ialah penyesuaian untuk konteks Malaysia, bukan cadangan rasmi beliau. Setiap keputusan perlu mengambil kira pendapatan, komitmen, kecairan simpanan dan tahap risiko masing-masing.

#7BabySteps #DaveRamsey #KewanganKeluarga #UrusDuit #SimpananKeluarga #sheilasdoodlestories

Rosilawat Wahid,
Cyberjaya
04 November 2026
27 Jamadilawal 1448H

Post a Comment

0 Comments