Entri #27 : Cara Menjahit Zip Untuk Poket Beg
Teks : Rosilawati WahidFoto : Rosilawati Wahid
Agak lama juga yong tidak menjahit kerana sibuk dengan tugas hakiki sebagai pelukis pelan kejuruteraan besi. Sekarang peringkat akhir menyiapkan projek kilang di Johor. Hampir siap tinggal struktur kecil-kecil seperti tangga dan atap kecil serta bukaan tingkap pada dinding “IMP”.
Bila tertekan dengan kerja yong beralih kepada menjahit bagi mengurangkan tekanan. Projek hilang tekanan kali ni adalah menjahit beg. Menjahit beg bukanlah kepakaran yong tapi sebab suka nak mencabar diri melakukan sesuatu yang lain makanya berusahalah juga.
Cabaran pertama yang yong hadapi adalah untuk memotong bahagian-bahagian kain yang digunakan. Sekurang-kurangnya ada empat bahagian, bahagian luar, dalam, ‘interface’ dan ‘fleece’. Poket luar, poket dalam dan juga tali. Memang yong kagum dengan sesiapa yang buat beg sendiri. Mereka mempunyai tahap kesabaran yang sangat tinggi.
Sebab itulah kalau kita lihat beg buatan tangan ini harganya agak mahal berbanding dengan beg tiruan. Sebab ianya unik dan berada di kelasnya yang tersendiri.
Berbalik kepada cerita zip, beg ini ada 2 bahagian poket, satu di luar dan satu lagi di bahagian dalam beg. Poket di bahagian dalam beg perlu dipasang dengan zip. Bersyukur dengan teknologi di hujung jari serta perkongsian ilmu dari dalam dan luar negara maka yong berjaya menghasilkan poket berzip ini.
Walaupun hasilnya agak kurang kemas tapi ianya sesuatu yang amat dibanggakan.
Dengan kata kunci carian di Google “How to make a zipper pocket” maka terjumpalah dengan tutorial berikut di Youtube. Penjelasannya jelas dan sangat mudah difahami.
Selamat mencuba ya.
0 Comments