Entri #26 : Pengalaman Bersalin Di Hospital Putrajaya
Teks : Rosilawati Wahid
Foto : Rosilawati Wahid
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah Yong diberikan kesihatan yang baik oleh Allah untuk berkongsi cerita dan berkongsi rasa. Entri ini juga buat tatapan anak-anak dikemudian hari.
Kami telah dikurniakan dengan enam orang cahayamata, tiga lelaki dan tiga perempuan. Kita merancang dan perancangan Allah lebih hebat lagi, Allah kurniakan anak yang ke tujuh buat kami. Alhamdulillah.
Sejarah kelahiran anak-anak Yong sebelum ini, anak pertama dan kedua dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, anak ketiga d Hospital Serdang manakala anak keempat hingga keenam di KPMC, Puchong.
9 Julai 2015
Hari ini ada temujanji kedua dengan doktor di Hospital Putrajaya. Ditakdirkan untuk kehamilan kali ini Yong mengidap GDM (diabetes semasa hamil), maka doktor akan review keputusan gula dalam darah. Rupanya pesakit GDM tidak boleh bersalin lebih tarikh. Tarikh jangkaan bersalin 11 Julai 2015, tetapi doktor menetapkan supaya Yong masuk wad pada hari ini juga kerana proses induce akan dilakukan pada keesokan harinya.
Tempahan wad dibuat. Diletakkan di dalam senarai menunggu kerana tiada kekosongan katil. Sekitar 8.30 malam Yong menerima panggilan daripada Hospital Putrajaya untuk masuk wad malam itu juga. Siapkan anak-anak yang bakal ditinggalkan, dan sekitar jam 11.00 malam bergerak menuju ke hospital. Syukur jarak antara rumah ke hospital hanya 10 minit berkereta.
Cik abang menurunkan yong di bahagian kecemasan, mendaftar di bahagian kemasukan wad dan bayaran deposit dibuat. Setelah pendaftaran terus menuju ke wad 2B katil 25. Alhamdulillah, Allah telah permudahkan sangat segala urusan. Semuanya berjalan dengan lancar.
Malam itu, tidur di wad bertemankan teman-teman seperjuangan. Ada yang baru bersalin, ada yang menunggu hari dan ada juga yang menghadapi cabaran ketika awal kehamilan.
10 Julai 2015
Seawal jam 4.00 pagi sudah terjaga. Tetapi sebenarnya sepanjang malam tidak berapa lena, hanya tidur-tdur ayam. Bayi jiran katil sebelah juga tidak nyenyak tidurnya. Telefon cik abang kejutkan sahur dan Yong sendiri bersahur dengan segelas minuman bijirin. Cik abang pesan supaya ambil berkat bersahur.
Seawal jam 7.00 pagi jururawat sudah memanggil untuk tujuan induce. Pagi itu empat orang menunggu giliran untuk diperiksa termasuk Yong. Ada yang sebab kencing manis dan ada yang lebih hari. Tapi Alhamdulillah, Yong tidak perlu di induce di wad. Alhamdulillah, Allah telah makbulkan doa.
Hari ini dewan bersalin agak sesak. Mungkin biasanya pun sememangnya sibuk. Yong menunggu dari jam 8.00 pagi tetapi jam 11.30 pagi baru ada kekosongan di dewan bersalin. Dapat bilik nombor 10.
Selepas selesai salin pakaian dewan bersalin, mesin CTG dipasang untuk merekod jantung bayi. Ritocin dimasukkan, induce juga bagi cepat contraction. Air ketuban tidak dipecahkan oleh doktor. Masa masuk bilik bersalin tu, doktor pakar datang melawat, kepala bayi masih 'terapung'. Jadi doktor menasihatkan supaya biar kepala bayi turun dengan cara semulajadi.
Sekitar jam 2.00 petang, doktor datang sekali lagi. Masih jauh lagi tapi kepala bayi sudah turun. Daripada pemeriksaan jalan baru 6cm. Pukul 2.15 petang sudah ada rasa meneran. Cepat-cepat minta cik abang panggilkan jururawat. Air ketuban masih belum pecah lagi. Pemeriksaan dilakukan oleh jururawat dan sejurus kemudian air ketuban pun pecah. Dan tidak lama selepas itu lahirlah anakanda kami.
Tarikh : 10 Julai 2015 (23 Ramadhan 1436H)Hari : JumaatMasa lahir : 2.30pmBerat : 3.27kgPanjang : 52cmUkur lilit kepala : 34cm
Alhamdulillah, Alhamdulillah.
Sepanjang sebelum bersalin Yong berbicara dengan Allah supaya diangkat rasa kesakitan semasa bersalin dan Alhamdulillah Allah permudahkan sangat. Hanya 15 minit rasa sakit dan anakanda selamat dilahirkan. Memang sekejap sangat serta Allah telah permudahkan segala-galanya.
Maka bermulalah episod berpantang. Bila dah anak ramai ni sebenarnya lebih jimat, pakaian abang-abang masih boleh digunakan lagi, guna semula. Yong cuma beli beberapa pasang pakaian baru sahaja. Peralatan lain seperti katil bayi, tilam dan bantal pun masih elok cuma ganti sarung yang baru sahaja. Rezeki anak ramai begitulah adanya.
Terima kasih kerana sudi membaca.
0 Comments