Senarai Semak Buat Bakal Pengantin



Perkahwinan adalah fasa penting dalam kehidupan seseorang. Perancangan rapi perlu di lakukan agar segala urusan dapat berjalan dengan lancar. Buat bakal pengantin, berikut adalah panduan yang penting buat anda yang sedang merancang perkahwinan.


1. Persetujuan keluarga.

Sebelum memulakan perancangan, anda dan pasangan haruslah berbincang dengan keluarga. Pastikan mereka setuju niat kalian. Perbincangan awal ini termasuk isu tarikh nikah, mas kahwin, hantaran serta adat yang perlu dipatuhi.

Langkah :

  • Dapatkan restu daripada kedua ibubapa sebelum perancangan teliti dibuat.
  • Bincang dengan pasangan secara terbuka berkenaan harapan dan tanggungjawab. 
  • Rancang tarikh untuk merisik dan bertunang jika itu menjadi adat di dalam keluarga.


2. Kursus pra-perkahwinan

Kursus pra-perkahwinan adalah syarat wajib bagi semua bakal pengantin. Kursus ini memberikan pengetahuan asas berkaitan perkahwinan dalam Islam, persediaan mental dan emosi untuk membina rumahtangga.

Langkah :

Daftar kursus di pusat bertauliah seperti masjid atau jabatan agama Islam.
Lengkapkan kursus 2 hari dan dapatkan sijil kursus.



3. Pilih tarikh dan tempat nikah

Rancang awal tarikh dan tempat nikah serta dapatkan persetujuan kedua-dua keluarga. Tempat nikah sama ada nikah di rumah atau di masjid. Tarikh dan tempat juga perlu mendapat kesesuaian jadual jurunikah yang ditugaskan. Jika lokasinya di masjid, dapatkan slot yang ada.



4. Persiapan Mas Kahwin dan Hantaran

Mas kahwin adalah pemberian wajib daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Duit hantaran pula adalah adat yang lazim dalam masyarakat Melayu, dan ia diberikan oleh pihak lelaki kepada keluarga perempuan sebagai tanda penghargaan.

Langkah:

  • Tentukan jumlah mas kahwin berdasarkan kadar negeri pengantin perempuan.
  • Bincang dengan pasangan dan keluarga mengenai jumlah duit hantaran.
  • Sediakan barang hantaran seperti pakaian, Al-Quran, barang kemas, dan lain-lain.


5. Penyediaan Dokumen Nikah

Dokumen yang diperlukan:

  • Sijil kursus perkahwinan
  • Borang nikah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam negeri
  • Kad pengenalan anda dan pasangan
  • Surat kebenaran nikah daripada Pejabat Agama (terutamanya jika nikah di luar kawasan)
  • Laporan kesihatan (bagi negeri yang mewajibkan pemeriksaan kesihatan pra-nikah)


Langkah:

  • Dapatkan dan lengkapkan borang nikah dari pejabat agama di negeri anda.
  • Buat pemeriksaan kesihatan (jika perlu) dan serahkan laporan bersama dokumen nikah.
  • Hantar borang nikah sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh pernikahan.


6. Majlis akad nikah 

Akad nikah adalah ijab daripada pihak wali perempuan atau wakilnya dan qabul dari pihak calon suami atau wakilnya. Akad nikah adalah syarat wajib dalam pernikahan Islam. Akad nikah boleh dilakukan oleh wali sendiri atau diwakilkan oleh jurunikah.

Langkah :

  • Hadir di lokasi akad nikah dengan dokumen yang diperlukan.
  • Sebelum lafaz nikah, jurunikah akan membacakan khutbah nikah.
  • Pengantin lelaki akan melafazkan akad nikah di hadapan jurunikah.
  • Saksi akan mengesahkan akad.
  • Jurunikah akan membacakan lafaz taklik.
  • Tandatangan borang pernikahan dan serahkan kepada pejabat agama untuk rekod dan mendapatkan sijil nikah.


7. Walimatul Urus

Majlis walimatul urus (kenduri kahwin) adalah sunnah. Tetapkan niat agar majlis ini sebagai tanda syukur kepada Allah. Elakkan pembaziran, pameran yang berlebih-lebihan dan amalan-amalan yang tidak mengikut syariat.



8. Perancangan Kehidupan Selepas Nikah

Selepas pernikahan, fokus kepada kehidupan berkeluarga. Ini termasuk pengurusan rumah tangga, kewangan, dan perancangan masa depan.

Langkah:

  • Bincang perancangan kewangan bersama pasangan, termasuk pengurusan hutang, simpanan, atau pelaburan.
  • Tentukan di mana anda akan tinggal (rumah sendiri, sewa, atau bersama keluarga).
  • Mulakan rutin baru sebagai pasangan suami isteri dengan komunikasi yang baik.

Merancang awal dan berbincang dengan pasangan dan keluarga boleh membantu mengurangkan tekanan dan memastikan majlis berjalan dengan lancar.

Semoga panduan ini membantu dalam membuat persediaan perkahwinan yang diimpikan.


Rosilawati Wahid,
Cyberjaya, Malaysia.
1 Oktober 2024
12 Rabi'ul Awwal 1446H

Post a Comment

0 Comments